TAJUK 9 : PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA
1.0 PENGENALAN
Pengurusan murid pelbagai upaya merupakan antara pengurusan yang penting dalam organisasi sesebuah sekolah. Hal ini kerana, sekolah merupakan sebuah pusat untuk mendidik murid-murid ke arah membentuk masyarakat yang cemerlang. Pengurusan pelbagai upaya merupakan satu langkah yang boleh diambil untuk membantuk murid-murid yang mengalami masalah dalam pembelajaran. Dalam hal ini, perkara yang sering kita lihat adalah pelajar-pelajar yang dikelaskan di dalam program pendidikan khas. Pendidikan khas merupakan sebuah program yang terdiri daripada murid-murid yang mempunyai kelainan upaya atau istimewa dan memerlukan keperluan khas dalam pembelajaran. Pendidikan khas juga merujuk kepada langkah yang terawal dalam membantu murid-murid istimewa ini untuk mencapai matlamat yang sepatutnya daripada program sekolah aliran perdana.
2.0 ISI PENTING
Pendidikan adalah penting untuk semua lapisan masyarakat termasuklah individu yang mempunyai kelainan upaya. Pendidikan merupakan sebuah hak asasi yang berhak diperolehi oleh semua manusia (Adam Salleh, 2003). Individu kelainan upaya juga perlulah diberikan peluang di dalam bidang pendidikan kerana individu seperti ini biasanya mempunyai kebolehan yang tersendiri dan tidak dimiliki oleh orang lain. Selain itu, mereka juga mempunyai minat, cita-cita, impian, hobi dan bakat yang perlu digilap dan dibantu supaya mereka mempunyai peluang dalam setiap perkara yang mereka impikan.
Kanak-kanak istimewa yang ditempatkan dalam program Pendidikan Khas boleh dikategorikan kepada tujuh kategori iaitu, kanak-kanak cerdas dan mempunyai bakat yang istimewa, kanak-kanak cacat fizikal (psikomotor atau neroisisi), kanak-kanak cacat penglihatan, kanak-kanak cacat pendengaran dan masalah komunikasi, kanak-kanak kecelaruan tingkahlaku (Behavoural disorders), kanak-kanak bermasalah pembelajaran (Learning disabilities), dan kanak-kanak kerencatan akal (Mentally retarded).
Mereka ini seperti kanak-kanak lain akan menjalani persekolahan bermula dengan Pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah serta pasca menengah. Kanak-kanak ini boleh memasuki prasekolah melalui Program Pra Sekolah di sekolah Pendidikan Khas. Mereka mestilah berumur 6 tahun hingga 14 tahun. Mereka mestilah disahkan oleh pengamal perubatan sebagai kanak-kanak istimewa. Kanak-kanak tersebut juga boleh mengurus diri tanpa dibantu orang lain.
Bagi kemasukan pelajar-pelajar ke sekolah rendah, tempoh minimum pembelajaran mereka adalah selama 6 tahun dan boleh dilanjutkan sehingga 2 tahun serta telah disahkan oleh pengamal perubatan. Mereka boleh dimasukkan ke sekolah rendah pada sekitar umur 6 tahun sehingga 14 tahun. Mereka perlulah boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain. Kemudahan yang disediakan di sekolah rendah adalah seperti asrama, makan dan minum yang percuma, bantuan kewangan RM50 sebulan bagi mereka yang berdaftar OKU.
Bagi kemasukan ke sekolah menengah, pelajar perlulah dalam lingkungan umur 13 tahun sehingga 19 tahun. Murid yang mempunyai masalah dalam penglihatan dan pendengaran boleh mengikuti pendidikan menengah aliran akademik di sekolah menengah yang mempunyai program Pendidikan Khas Integrasi atau di Sekolah Pendidikan Khas. Jabatan Pendidikan Teknikal juga ada memberikan peluang pembelajaran kepada murid pendidikan khas untuk menyambung pelajaran di politeknik dengan menawarkan kursus-kursus teknikal, elektrik, perhotelan, dan rekaan fesyen.
3.0 Rumusan
Secara keseluruhannya, pelajar-pelajar pelbagai upaya perlulah diberikan perhatian dan diberikan peluang yang luas sama seperti pelajar-pelajar yang normal. Mereka juga perlulah mendapat pendidikan yang sesuai dengan kelebihan mereka supaya bakat mereka boleh digilap dengan sebaiknya. Pelajar-pelajar pelbagai upaya memerlukan pengajaran pada kelajuan yang sesuai, kerja kognitif yang berpatutan, standard prestasi yang realistik dan peluang sesuai untuk mereka mencapai potensinya. Namun, kanak-kanak yang pintar tidak perlulah diasingkan antara satu sama lain kerana interaksi sosial antara pelajar-pelajar ini tidak dapat berlaku dan mereka tidak akan mempunyai pengalaman dalam berinteraksi dengan orang-orang yang mempunyai kelainan upaya. Seorang guru juga perlulah melayani murid-murid mereka secara adil dan sama rata supaya mereka tidak rasa disisihkan dan dapat menjatuhkan imej profesion keguruan.
4.0 RUJUKAN
http://elhaurawareesha.blogspot.com/2019/05/bab-11-pengurusan-murid-pelbagai-upaya.html
https://ayyunajwa.blogspot.com/2019/04/bab-12-pengurusan-pelbagai-upaya.html
Comments
Post a Comment