TAJUK 12: INTERAKSI DALAM PEMBELAJARAN
1.0 PENGENALAN
Interaksi boleh didefinisikan sebagai hubungan atau aksi dua hala yang melibatkan dua pihak atau lebih. Sebagai contohnya, interaksi boleh berlaku antara guru dan pelajar. Pembelajaran pula membawa maksud proses seseorang pelajar memperoleh kefahaman dan mengubah kefahaman atau konsep tertentu yang telah dipelajari itu (Murphy & Alexander, 2006). Oleh itu, interaksi dalam pembelajaran adalah komunikasi yang berlaku dalam proses pembelajaran yang melibatkan pelbagai skop. Selain itu, ia menekankan bahawa interaksi sosial membentuk realiti. Manusia memainkan peranan yang mereka telah pilih dan sesuai mengikut situasi.
2.0 ISI PENTING
Terdapat tiga isi penting yang terdapat dalam topik interaksi dalam pembelajaran antaranya adalah jenis-jenis interaksi dalam pembelajaran. Interaksi yang pertama adalah interaksi sehala yang merupakan interaksi yang sering berlaku dalam pembelajaran. Interaksi ini hanyalah melibatkan interaksi antara guru dan pelajar. Interaksi ini merupakan satu interaksi yang pasif. Hal ini kerana pelajar hanya mendengar dan menerima ilmu pengetahuan yang diberikan oleh guru secara penerangan semasa guru mengajal di dalam kelas. Sebagai contoh, para pelajar akan mendengar dan mencatat segala penerangan yang diberikan oleh guru tanpa bertanyakan soalan kepada guru. Interaksi sehala ini merupakan salah satu interaksi yang berkesan ketika guru ingin memulakan sesuatu pelajaran atau tajuk yang baru.
Interaksi yang kedua adalah interaksi dua hala antara guru dan pelajar. Interaksi ini dinamakan sebagai dua hala apabila guru menanyakan soalan kepada para pelajar dan pelajar perlu menjawab soalan tersebut. Selain itu, pelajar yang bertanyakan soalan kepada guru ketika proses PdP juga merupakan interaksi dua hala dalam pembelajaran.
Interaksi ketiga adalah interaksi kumpulan iaitu interaksi yang melibatkan antara pelajar dengan pelajar dan guru hanya menjadi fasilitator kepada para pelajar. Interaksi ini sering berlaku apabila terdapat kerja berkumpulan seperti perbincangan dalam kumpulan. Sebagai contoh, guru akan membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan dan di situ para pelajar akan berbincang bersama ahli kumpulan mereka mengenai topik yang dipelajari.
Interaksi keempat adalah interaksi antara kumpulan iaitu interaksi antara kumpulan dengan kumpulan lain. Interaksi ini tidak melibatkan penglibatan seorang guru dan hanya akan berlaku semasa sesi pembentangan dilakukan. Sebagai contohnya, apabila kumpulan pembentang melakukan pembentangan, maka ahli kumpulan lain boleh bertanya soalan kepada kumpulan pembentang. Dengan adanya interaksi antara kumpulan dalam pembelajaran, pelajar dapat berdikari dalam menyediakan sesuatu perkara tanpa bantuan guru.
Seterusnya, isi yang kedua adalah cara-cara mewujudkan interaksi yang berkesan adalah dengan merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menarik seperti menggunakan bahan bantu mengajar yang kreatid dan inovatif dalam pembelajaran. Bahan bantu belajar yang kreatif mampu menarik minat pelajar untuk melibatkan diri dalam pembelajaran. Tambahan pula, suasana pembelajaran dalam bilik darjah akan menjadi lebih ceria dan kondusif. Oleh itu, dalam pembelajaran seperti interaksi antara guru dan pelajar akan terbentuk dan sekaligus menjadikan proses PdP lebih berkesan.
Isi ketiga dalam topik ini adalah menggunakan gaya kepimpinan yang demokratik dalam pembelajaran juga merupakan antara cara untuk mewujudkan interaksi yang berkesan. Semua guru tidak digalakkan untuk menggunakan kepimpinan autokratik. Hal ini menyebabkan para pelajar akan berasa tidak seronok ketika belajar kenrana pelajar tidak diberi peluang untuk menyuarakan pendapat mereka. Namun, apabila kepimpinan demokratik digunakan oleh guru, maka para pelajar lebih seronok dan selesa dalam berinteraksi. Kesannya, tiada jurang yang terhasil antara guru dan murid.
3.0 PENUTUP
Secara kesuluruhannya, interaksi dalam pembelajaran adalah penting bagi seseorang guru ketika melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) di dalam kelas. Guru-guru perlulah mempunyai kemahiran interaksi yang baik di dalam kelas kerana kaedah pengajaran guru merupakan simbol kepada pemahaman murid-murid semasa di dalam kelas. Sekiranya guru-guru gagal berinteraksi dengan baik di dalam kelas, maka kaedah PdP oleh seseorang guru boleh dikategorikan sebagai gagal kerana mereka tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan keadaan persekitaran di sekolah dan kelas bersama para pelajar mereka.
4.0 RUJUKAN
Comments
Post a Comment