TAJUK 1: ORGANISASI DAN KEPIMPINAN
1.0 Pengenalan
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (2017), organisasi merupakan sebuah pentadbiran yang melibatkan pelbagai pihak dalam sesebuah kumpulan untuk membincangkan tentang perkara-perkara yang tertentu. Selain itu, badan-badan yang terlibat dalam sesebuah organisasi adalah seperti pertubuhan kerajaan, parti politik, pelbagai institusi dan sebagainya.
Kepimpinan merupakan suatu perlakuan yang mempengaruhi individu lain supaya mengikuti arahan orang memimpin bagi mendapatkan sesuatu kebaikan atau matlamat yang perlu dikecapi (Bush & Middlewood, 2005; Baldoni, 2012). Terdapat perbezaan antara pemimpin dan juga pengurus, iaitu seseorang pemimpin akan membawa perubahan dalam sesebuah kumpulan manakala pengurus akan mengekalkan nilai seperti kecekapan dan keberkesanan sesebuah pentadbiran (Cuban, 1988). Oleh itu, dalam hal ini pengetua memainkan peranan yang sangat besar kerana perlu memainkan dua peranan iaitu sebagai seorang pemimpin dan juga pengurus. Tanggungjawab yang digalas oleh pengetua sangat besar kerana segala pengurusan sekolah sama ada baik atau tidak berada di bawah pantauan beliau.
Organisasi dan kepimpinan merupakan sebuah badan pentadbiran yang dianggap sangat penting dalam memastikan pengurusan sekolah berada dalam keadaan yang tersusun dan baik. Pengurusan yang baik dalam sesuatu sekolah merupakan perkara yang perlu dititikberatkan. Hal ini supaya pengurusan sekolah yang melibatkan guru-guru dan murid-murid dapat diuruskan dengan baik. Bagi pengupasan yang lebih lanjut berkenaan dengan topik organisasi dan kepimpinan, penjelasan terhadap bagaimana organisasi sekolah, peranan setiap pentadbiran di sekolah, dan bentuk-bentuk kepimpinan akan dikupas dengan lebih mendalam.
2.0 Isi Penting
Pertama sekali, organisasi dalam sesebuah sekolah adalah penting supaya pengurusan sekolah dapat berjalan dengan baik. Pentadbiran sekolah akan diketuai oleh pengetua, diikuti oleh penolong kanan pentadbiran, penolong kanan petang, penolong kanan hal ehwal murid, kaunselor dan penolong kanan kokurikulum. Penolong Kanan Pentadbiran serta Penolong Kanan Petang akan menguruskan bahagian pentadbiran dan bahagian kurikulum. Bahagian kurikulum terdiri daripada pusat sumber dan guru kanan matapelajaran dan dibawahnya ketua panitia matapelajaran. Penolong kanan hal ehwal murid akan menguruskan bahagian disiplin, pendaftaran pelajar, kantin dan SPBT. Akhir sekali, penolong kanan kokurikulum akan menguruskan bahagian sukan, kelab dan unit beruniform.
Seterusnya, saya akan membincangkan peranan bagi setiap ahli-ahli dalam organisasi sekolah. Pertama sekali, peranan pengetua adalah beliau bertanggungjawab dalam peningkatan kurikulum dan kokurikulum serta memastikan pelaksanaannya selaras dengan dasar Kementerian Pelajaran. Beliau juga bertanggungjawab dalam hal pengurusan, pentadbiran dan kewangan sekolah serta bertanggungjawab dalam mewujudkan hubungan dua hala dengan komuniti dan agen-agensi luar. Bidang tugas penolong kanan adalah menjalankan tugas pengetua semasa ketiadaannya, bertanggungjawab kepada pengetua dalam hal kurikulum, pentadbiran, hubungan masyarakat dan keselamatan serta membantu pengetua menyelia dan menilai proses pengajaran. Seterusnya, bidang tugas kaunselor adalah bagi membantu pelajar untuk memahami dirinya dengan hubungan dunia sosial dan psikologi pelajar mengikut situasi yang sedang mere hadapi. Sebagai contohnya, kaunselor sering membantu para murid dalam memahami perlakuan sendiri, membantu murid memahami apakah minat dan bakat para pelajar. Seringkali pelajar yang masih belum mengetahui cita-cita mereka dengan jelas perlu berjumpa dengan kaunselor di sekolah bagi mengenal pasti kemahiran yang ada pada diri sendiri supaya sesuai dengan cita-cita pada satu hari nanti.
Di samping itu, mengenai topik organisasi dan kepimpinan ini terdapat lima gaya kepimpinan yang perlu kita ketahui iaitu gaya kepimpinan autokratik, demokratik, Laissez-Faire, kontigensi dan instruksional. Pertama, gaya kepimpinan autokratik ialah seseorang pemimpin yang mementingkan pelaksanaan tugas. Pimpinan ini menggunakan sumber kuasa formal dan pemimpin yang mengamalkan gaya ini akan membuat keputusan berkaitan dengan tugas, mengeluarkan arahan dan memastikan arahan itu dipatuhi. Kedua, gaya kepimpinan demokratik ialah pemimpin akan memberi peluang kepada setiap ahli organisasi untuk memberikan pendapat atau pandangan sebelum sesuatu keputusan diambil. Gaya kepimpinan ini juga dikenali sebagai pimpinan yang menggalakkan kesemua kakitangannya melibatkan diri dalam organisasinya. Ketiga, gaya kepimpinan Laissez-Faire adalah pemimpin yang memberi kebebasan dan unsur-unsur kawalan serta memberi ruang untuk individu supaya lebih kreatif dan kritis. Pemimpin juga akan membiarkan semua keputusan dibuat oleh orang bawahannya dan berperanan sebagai pemerhati senyap. Dalam pengurusan di sekolah, cara ini boleh diamalkan tetapi tidak kepada semua guru dan staf. Keempat adalah gaya kepimpinan kontigensi iaitu kepimpinan ini adalah berdasarkan situasi. Situasi yang berbeza akan ditangani dengan gaya kepimpinan yang tersendiri. Penerapan gaya kepimpinan yang bervariasi dalam menghadapi pelbagai situasi akan menjadikan kepimpinan lebih efektif. Akhir sekali adalah gaya kepimpinan instruksional iaitu pemimpin akan menyediakan sumber keperluan organisasi dan memberi penekanan dalam memantau kerja yang dapat memperbaiki mutu kerja, sikap dan menyelesaikan masalah. Gaya kepimpinan ini boleh diukur melalui pencapaian matlamat dan kesejahteraan anggota.
3.0 Rumusan
Kesimpulannya, organisasi dan kepimpinan adalah penting dalam pengurusan pentadbiran di sekolah. Tanpa organisasi yang teratur dalam sesebuah sekolah, pengurusan pembelajaran di sekolah tidak akan dapat berjalan dengan lancar. Dalam hal ini, pengetua merupakan ahli yang terpenting dalam sesebuah organisasi di sekolah. Organisasi sekolah yang baik dapat melahirkan suasana pembelajaran yang positif iaitu apabila setiap ahli dalam sesebuah organisasi di sekolah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan teliti, lebih ramai pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum dapat dilahirkan.
4.0 Rujukan
Jamil Adimin, (2012). Kepimpinan untuk pembelajaran: Belajar memimpin diri untuk membawa perubahan. "Seminar nasional kepimpinan dan pengurusan pendidikan kali ke-19, Institui Aminudin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia. http://eprints.iab.edu.my/v2/426/1/10122014083307.pdf
Kamus Online DBP. (2017). Organisasi dan Kepimpinan. Dalam laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka. Diperoleh pada November 24, 2021, daripada https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=organisasi+&d=175768&
Comments
Post a Comment